Monday, August 18, 2008

Pondok UMNO di tepi pantai


Ahad, persidangan dan pemilihan umno cawangan Taman Bukit Manjakani bermula. Aku di jemput dan hadir atas satu dasar merapat hubungan silratulrahim antara rakan sekampung yang agak lama berjarak. Aku bukan hendak menjadi entrisme dalam umno dan bukan juga untuk berpolemik pasal umno. Sekadar berjumpa dan beramah mesra bersama rakan sekampung.

Ramai di antara mereka ini yang pernah sama-sama berlajar dan bermain serta bergaduh di masa dahulu tampil dengan pelbagai rupa dan watak. Alhamdullilah semuanya berkerjaya dan jelas berkarisma bercirikan lagak seorang pemimpin. Kononnya.

Aku akur dengan perubahan ideologi dan perinsip hidup. Yang ketika dahulu kami nampak sama dalam banyak hal. Secara asas perjumpaan ini atas tiket persidangan dan pemilihan tetapi tajuk bual lebih cenderung kepada hal-hal masa dahulu dan bukan kepada politik semata-mata.

Keakraban melampaui perbatasan ideologi. Jelas sekali kami bertawa-riang seperti tidak sedar ini kawasan larangan buat fahaman lain dari perjuangan mereka. Aku, bukan dikalangan kelompok pegangan mereka. Aku hanya berhubung antara teman dahulu yang pernah sama-sama mencuri buah mangga Pakcik Jamil dan membuat pesanan palsu kepada Kedai Bala untuk di hantar ker rumah Fara yang mana nilainya RM150.

Timbalan Ketua Pemuda baru dilantik berseloroh, patutlah kenapa tidak boleh keluarga si Megat di satukan dalam ikatan Perkahwinan dengan anak perempuan keluarga Si Nik. Bukan kerana berlainan fahaman sedangkan mereka berkenalan dari kecil lagi. Tetapi disebabkan kesatuan ini akan membuahkan hasil kata nama baru bagi keluarga yang bakal bergelar keluarga "Mekanik". Masakan boleh begitu, sebagai feudalisme tidak cocok gelarannya. Akhirnya gagal dan mereka membawa haluan masing-masing bersama hidup pasangan lain(aku dah kata perbualan kami bukan politik). Kami gelak besar. Manis.

Yang lebih manis, Aku diberikan peranan dalam membuat pencalonan mengunakan skrip kertas bertulis yang dimandatkan oleh teman baik yang ketika dahulu kami pernah bermusuh dari segi merebut jawatan Ketua Pemuda dari Aku. Kini kami mesra kembali dengan keterbukaan hati Aku untuk mencalonkannya selaku Ketua Pemuda dan akhirnya menang dengan undian yang besar. Tangan berjabat senyum terukir bukan kerana kerana kemenangan jawatan, tetapi satu kejayaan menjernihkan kekeruhan serta menyatukan kembali hubungan persahabatan yang pernah retak selama 12 tahun lamanya. Satu pengorbanan telah dibuat.

Selesai hal pemuda masuk pula kepada persidangan sebenar umno dengan diterujui oleh pengerusi tetap dan emcee dari Mejor bersara. Tumpuan diberi kepada golongan veteran, bendahari mengemukakan perbentangan akaun "Errr..dengan ini...errr saya sebutkan akaun..errr bagi persidangan umno tahun seribu sembilan ratus..." tersentak "Nanti dulu encik Jamil, sekarang tahun dua ribu" celah dari perwakilan. Sudah nyata sama sekali perlu ada pertukaran barisan pucuk pimpinan. Pokoknya siapa berani melawan arus?

Tiada kamera yang dapat merakam setiap detik peristiwa ini. Tetapi hati yang merakamkan betapa saat-saat penting yang dilalui di tanam semat di dalam diri aku.

1 comment:

wugiwug said...

..hahaha "mekanik"