Monday, June 30, 2008

Iqa


Sabtu, tanggal 28 Jun 2008 hari yang penuh dengan keberkatan dan ketakwaan dalam menjalani salah satu ibadah sunat Mu'akad. Majlis kenduri Aqiqah anak aku Nur Zuliqa Suraya yang dibuat secara sederhana tetapi meriah dengan tamu yang datang dari kalangan sanak-saudara hinggalah kepada rakan-taulan.

Yang menarik majlis itu, telah disempurnakan dengan sokongan oleh pihak syarikat tempat aku bekerja dan semoga Allah sentiasa memelihara keharmonian serta limpahan rezeki yang berlebihan ke atas seluruh warga Al-Ameen.

Hidangan yang disajikan cukup menyelerakan serta terasa nikmat yang mengembirakan segala tetamu yang hadir. Ucapan syabas kepada katerer yang begitu arif dalam penyediaan menu masakan. Apa yang di ketahui, bukanlah perkara yang mudah untuk menyediakan masakan dari daging kambing. Jika tidak begitu arif untuk mengedalikan, kadang-kala hamis dari bau kambing itu pasti dapat dihidu.

Buat pertama kali majlis kenduri Aqiqah yang dapat disempurnakan dengan begitu baik sekali. Bagi pihak aku sekeluarga berasa syukur kehadrat illahi, semoga apa yang telah dilalui ini akan mendapat keberkatan seisi keluarga suadara islam dan merapatkan lagi hubungan sirraturahim.

Thursday, June 26, 2008

Pelita Nyonya Munir


Hujan turun renyai-renyai dari petang tadi lagi. Sekarang jarum jam sudah semakin hampir jam 12 tengah malam. Dingin malam yang mula terasa menikam-nikam dinding kulit terasa sesekali dibelai angin kipas usang.

Kalau dahulu masa usia aku 8 tahun, suasana macam ni selalunya kedengaran lagu-lagu asli dari corong radio berkuasa bateri ayah. dan aku akan terkebil-kebil dalam separuh gelap yang hanya di terangi cahaya dari lampu pelita ayam. Dulu aku panggilnya pelita nyoya Munir.

Kepukan asap rokok ayah ku selalunya membuatkan keadaan ruang tamu seperti berkabus di satu sudut lain. Seperti satu bahan hiburan buat ayah ku sedangkan aku lebih asyik melihat nyala api di dalam kaca yg sesekali berliuk-liuk bila ada angin lalu entah dari mana. Mungkin masuk melalui celahan dinding papan kayu rumah ayah yang beratap Zink. Taluan titisan hujan renyai yang bertali arus, Keroncong Kuala Lumpur mengiringi suasana.

Sesekali kedengaran ayah terbatuk kecil. Hirupan kopi separuh panas melegakan sedikit perit tekak. Aku masih dalam keasyikan dunia kecil ku yang tekun melihat nyala api dari pelita nyoya Munir. Suara lagu dari corong tidak sekali mengusik aku untuk memahami senikata mahupun melodinya. Tidak seperti ayah ku yang begitu menghayatinya.

Di waktu begini menjadi rutin kami dua beranak, sementara menanti kepulangan ibuku dari kerja syif malam. Ibuku hanya bekerja sebagai operator kilang yang punyai semangat kental dalam mencari arah pandu keluarga selepas ayahku. Sambil mendengar lagu, sesekali mata ayah melirik ke jam dinding dan aku juga turut serta. Ah! betapa lambat sekali untuk tiba ke angka 1:30 pagi.

Tapi kini, mata ku kuyu untuk menanti jam 6 pagi. Apa ada pada jam 6 pagi? hidup ini bagaikan roda dan merupakan satu pusingan besar melewati masa dan sejarah. Memori sentiasa segar dalam melayari hidup kini. Yang pasti, tiada lagi Pelita ayam atau pun Nyonya Munir. Dan tiada lagi kepukan asap rokok atau gemersik lagu asli dari corong radio kuasa bateri. Tidak perlu melirik mata ke jarum jam yang berdetik tanpa henti. Kerana deringan pasti akan memekik tika saat tepat jam 6 pagi dan pada masa itu aku akan bergegas bangun menunaikan tanggungjawab aku kepada tuhan dan juga keluarga.

Dahulunya ayah ku memegang amanah kepada keluarganya kini giliran aku. Isteri aku pasti menanti untuk di ambil pulang dari kerjanya. Itulah rutin harian dari jam 9 malam hingga lah 6 pagi. Bukan sebagai operator kilang tetapi sebagai operator perkhidmatan pelanggan menjawab panggilan dari seberang laut yang ketika itu waktu mereka di siang hari.

Hidup ini bagaikan roda dan merupakan satu pusingan besar melewati masa dan sejarah. Memori sentiasa segar dalam melayari hidup kini. Yang pasti, tiada lagi Pelita Nyonya Munir.

Sunday, June 22, 2008

Siri Kecerian di masa kecil kita


Sebelum ini beberapa siri karya lukisan yang dihasilkan berteraskan keindahan bumi yang diselaputi dengan kemelut kemusnahan dan ke tidak seimbang dalam eko sistem dalam kontek ala-ala surilis dengan gaya naif. Kini aku hadir dengan siri karya lukisan yang menerapkan satu andaian bahawa zaman kanak-kanak kita dahulunya lebih ceria dengan kesimbangan zat alam yang terpelihara akan keindahan dan kesegaran yang mempersonakan kita.

Aku berasa syukur kerana di pilih hidup di bumi Nusantara yang kaya dengan khazanah alam semulajadi dengan faktor gaya kehidupan yang sederhana dan tidak lekang dengan adat serta budaya ramah tamah serta memiliki keunikan tersendiri dalam pentadbiran dari segi sosio ekonomi serta politik yang mementingkan kestabilan serta keamanan masyarakat.

Penerapan adat,budaya serta pegangan agama yang baik menjadi satu landasan kepada kemakmuran dan yang menyentuh kita bila melihat anak-anak lebih merasa erti kedamaian dan keriangan walau pun mereka tidak faham akan erti dewasa sebenar ketika itu.

Dahulunya mungkin kita hidup dengan bertemankan kepada 4 unsur iaitu Tanah, Air, Angin dan Api. Tanah makmur dengan tumbuhan hijau dengan mengalirnya sungai dan terusan serta angin yang hadir berhiaskan layang-layang di bawah sinar Sang Suria yang sentiasa menerangi alamnya. Tapi kini bila dewasa kita hidup bagai berlayar di alam maya tanpa gelora ombak dan tanpa angin bertiup kencang serta merasa kehangatan yang sentiasa menyemarakan hidup.

Nurani kita mula mengejar arus kemodenan yang semakin membelakangkan sejarah di mana dahulu kita mungkin pernah berikrar kepada alam bahawasanya bila kita celik pagi meredah rumput berbutir embun mencari ilmu dan pulang menghiasi lapangan hijau dengan sorak riang, kelihatan Sang Suria bagai tersenyum melihat gelagat anak-anak. Dan masa itu kita beramai-ramai bertanyakan khabar kepada Sang Suria dan berjanji tidak sesekali akan melupakannya dan pasti bertemu kembali bila kesokan hari. Malam itu kita berbisik kepada bulan dan bintang, Sang Suria sentiasa menanti kehadiran kita di awal pagi esok nanti.

Salam dari sahabat pena


Tanggal segala status pakaian aku turun ke permukaan air yang tenang untuk bersuci dari kekotoran jiwa insaniah yang berkerak di hati sehingga batiniah terhijab dari sinar cahaya nur. Kini kurendam dari kehangatan dunia menyejukan diri agar segar kemudian semoga daki yang berkerak tanggal dari menyelaputi hati nuraini.

Insan kerdil ini memiliki satu iltizam kesungguhan dalam mengubudiahkan diri agar sentiasa mendapat keampunan serta keberkatan dari penciptanya.

Tulisan ini terbit bukan dari seorang penterjemah agama tetapi datang dari menjadi seorang hamba kepada dunia yang kini sedar akan kekalutan dan duduk tawaduk kepada yang empunya.