Thursday, June 26, 2008

Pelita Nyonya Munir


Hujan turun renyai-renyai dari petang tadi lagi. Sekarang jarum jam sudah semakin hampir jam 12 tengah malam. Dingin malam yang mula terasa menikam-nikam dinding kulit terasa sesekali dibelai angin kipas usang.

Kalau dahulu masa usia aku 8 tahun, suasana macam ni selalunya kedengaran lagu-lagu asli dari corong radio berkuasa bateri ayah. dan aku akan terkebil-kebil dalam separuh gelap yang hanya di terangi cahaya dari lampu pelita ayam. Dulu aku panggilnya pelita nyoya Munir.

Kepukan asap rokok ayah ku selalunya membuatkan keadaan ruang tamu seperti berkabus di satu sudut lain. Seperti satu bahan hiburan buat ayah ku sedangkan aku lebih asyik melihat nyala api di dalam kaca yg sesekali berliuk-liuk bila ada angin lalu entah dari mana. Mungkin masuk melalui celahan dinding papan kayu rumah ayah yang beratap Zink. Taluan titisan hujan renyai yang bertali arus, Keroncong Kuala Lumpur mengiringi suasana.

Sesekali kedengaran ayah terbatuk kecil. Hirupan kopi separuh panas melegakan sedikit perit tekak. Aku masih dalam keasyikan dunia kecil ku yang tekun melihat nyala api dari pelita nyoya Munir. Suara lagu dari corong tidak sekali mengusik aku untuk memahami senikata mahupun melodinya. Tidak seperti ayah ku yang begitu menghayatinya.

Di waktu begini menjadi rutin kami dua beranak, sementara menanti kepulangan ibuku dari kerja syif malam. Ibuku hanya bekerja sebagai operator kilang yang punyai semangat kental dalam mencari arah pandu keluarga selepas ayahku. Sambil mendengar lagu, sesekali mata ayah melirik ke jam dinding dan aku juga turut serta. Ah! betapa lambat sekali untuk tiba ke angka 1:30 pagi.

Tapi kini, mata ku kuyu untuk menanti jam 6 pagi. Apa ada pada jam 6 pagi? hidup ini bagaikan roda dan merupakan satu pusingan besar melewati masa dan sejarah. Memori sentiasa segar dalam melayari hidup kini. Yang pasti, tiada lagi Pelita ayam atau pun Nyonya Munir. Dan tiada lagi kepukan asap rokok atau gemersik lagu asli dari corong radio kuasa bateri. Tidak perlu melirik mata ke jarum jam yang berdetik tanpa henti. Kerana deringan pasti akan memekik tika saat tepat jam 6 pagi dan pada masa itu aku akan bergegas bangun menunaikan tanggungjawab aku kepada tuhan dan juga keluarga.

Dahulunya ayah ku memegang amanah kepada keluarganya kini giliran aku. Isteri aku pasti menanti untuk di ambil pulang dari kerjanya. Itulah rutin harian dari jam 9 malam hingga lah 6 pagi. Bukan sebagai operator kilang tetapi sebagai operator perkhidmatan pelanggan menjawab panggilan dari seberang laut yang ketika itu waktu mereka di siang hari.

Hidup ini bagaikan roda dan merupakan satu pusingan besar melewati masa dan sejarah. Memori sentiasa segar dalam melayari hidup kini. Yang pasti, tiada lagi Pelita Nyonya Munir.

No comments: