Sunday, June 22, 2008

Siri Kecerian di masa kecil kita


Sebelum ini beberapa siri karya lukisan yang dihasilkan berteraskan keindahan bumi yang diselaputi dengan kemelut kemusnahan dan ke tidak seimbang dalam eko sistem dalam kontek ala-ala surilis dengan gaya naif. Kini aku hadir dengan siri karya lukisan yang menerapkan satu andaian bahawa zaman kanak-kanak kita dahulunya lebih ceria dengan kesimbangan zat alam yang terpelihara akan keindahan dan kesegaran yang mempersonakan kita.

Aku berasa syukur kerana di pilih hidup di bumi Nusantara yang kaya dengan khazanah alam semulajadi dengan faktor gaya kehidupan yang sederhana dan tidak lekang dengan adat serta budaya ramah tamah serta memiliki keunikan tersendiri dalam pentadbiran dari segi sosio ekonomi serta politik yang mementingkan kestabilan serta keamanan masyarakat.

Penerapan adat,budaya serta pegangan agama yang baik menjadi satu landasan kepada kemakmuran dan yang menyentuh kita bila melihat anak-anak lebih merasa erti kedamaian dan keriangan walau pun mereka tidak faham akan erti dewasa sebenar ketika itu.

Dahulunya mungkin kita hidup dengan bertemankan kepada 4 unsur iaitu Tanah, Air, Angin dan Api. Tanah makmur dengan tumbuhan hijau dengan mengalirnya sungai dan terusan serta angin yang hadir berhiaskan layang-layang di bawah sinar Sang Suria yang sentiasa menerangi alamnya. Tapi kini bila dewasa kita hidup bagai berlayar di alam maya tanpa gelora ombak dan tanpa angin bertiup kencang serta merasa kehangatan yang sentiasa menyemarakan hidup.

Nurani kita mula mengejar arus kemodenan yang semakin membelakangkan sejarah di mana dahulu kita mungkin pernah berikrar kepada alam bahawasanya bila kita celik pagi meredah rumput berbutir embun mencari ilmu dan pulang menghiasi lapangan hijau dengan sorak riang, kelihatan Sang Suria bagai tersenyum melihat gelagat anak-anak. Dan masa itu kita beramai-ramai bertanyakan khabar kepada Sang Suria dan berjanji tidak sesekali akan melupakannya dan pasti bertemu kembali bila kesokan hari. Malam itu kita berbisik kepada bulan dan bintang, Sang Suria sentiasa menanti kehadiran kita di awal pagi esok nanti.

No comments: