Saturday, July 19, 2008

Malaysian Naive Showcase 2008









Organize by GajahGajah Gallery & Annexe Gallery



NAIF menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud terlalu lurus atau betul bendul. Ia menggambarkan tentang kejujuran yang dikaitkan dengan pemikiran serta perbuatan seseorang.Sayangnya, apabila naif dikaitkan dengan seni catan, ia kurang mendapat perhatian ramai kerana sifat karya seni itu yang diterjemahkan sebagai kebudak-budakan, tidak serius dan terlalu mudah gaya pengkaryaannya.

Bahkan, seni catan gaya naif juga dianggap sebagai tidak mencabar dengan alasan ia boleh dilakukan, direkacipta oleh sesiapa sahaja, sedangkan hakikatnya seni itu turut mempunyai ramuan-ramuan formalistik yang harus dipelajari oleh para pengkaryanya.

Menyedari hakikat itu, pelukis terkenal, Yusof Gajah telah menganjurkan pameran berkumpulan seni catan naif, Malaysian Naive Art Showcase 08 di Pasar Seni, Kuala Lumpur bermula 8 Mei sehingga 25 Mei ini bagi memperkembangkan lagi seni catan tersebut yang dikatakan tersisih daripada penggemarnya. Menurut Yusof yang dikenali sebagai Bapa Pelukis Naif Malaysia, seni catan naif cukup penting kerana pelbagai gaya, idea, pemikiran dan latar budaya setempat boleh diketengahkan menerusi sesuatu karya yang kononnya dikatakan naif itu. "Kita kena ada lukisan yang berwajah Malaysia.

Seni catan naif banyak menyumbang ke arah itu. Ini kerana, seni catan naif mempunyai arah pemikiran dan temanya yang tersendiri terutamanya tentang alam dan budaya persekitaran pengkaryanya. "Ciri-ciri kejujuran mudah terserlah kerana para pengkarya seni catan naif memaparkan apa yang mereka rasakan. Apatah lagi, kebanyakan pengkarya seni catan naif biasanya bukan daripada kalangan pelukis yang profesional. "Misalnya, mereka mungkin boleh jadi daripada kalangan kerani tetapi mempunyai minat yang mendalam dan tajam idea dalam bidang lukisan," katanya ketika ditemui pada pameran Malaysian Naive Art Showcase 08 yang telah dirasmikan oleh duta Norway di negara ini, Arild Braastad baru-baru ini.

Pameran berkumpulan pelukis seni catan naif itu merupakan kali ketiga dianjurkan di mana kali pertama telah diadakan pada 1998 dengan mempa- merkan karya empat pelukis iaitu Yusof Gajah, Zila Zain, Shima dan Azmi S.H. Sementara, pameran berkumpulan pelukis seni catan naif kedua dengan tema berjudul Appear Innocent pula telah diadakan pada 2001 dengan disertai oleh pelukis seperti Yusof Gajah, Mat Dollah dan Adeputra. Bagaimanapun, kali ini seramai 37 pelukis seni catan naif telah menyertai Malaysian Naive Art Showcase 08 dengan mempamerkan lebih 100 buah lukisan yang dijual dengan harga antara RM550 hingga RM150,000.

Gaya penceritaanKepelbagaian citra naif dapat dilihat daripada kemeriahan pesta warna-warni yang kelihatan bagaikan tidak berkesudahan dengan menampilkan pelbagai imej landskap seperti banjaran gunung, bukit-bukau, hutan-rimba, ladang pertanian, sungai, tasik dan laut. Gaya penceritaan secara visual turut menambah keragaman citra gaya naif, misalnya suasana kehidupan di bandar dan luar bandar yang boleh mengimbas kenangan serta pengalaman para pengamat sesebuah karya tersebut.

Karya-karya catan naif juga mudah untuk diidentifikasikan kerana gambaran yang diutarakan biasanya mewakili sebahagian daripada pengalaman yang pernah atau sering dilalui oleh anggota-anggota masyarakat. Persembahan visual gaya penceritaan seperti ini lazimnya mampu untuk mencetuskan kenangan-kenangan silam dalam bentuk nostalgia emotif yang memudahkan kefahaman serta apresiasi terhadap sesuatu karya gaya naif.

Turut dipaparkan menerusi pameran ini ialah unsur-unsur pribumi Melayu nusantara yang ketara menerusi identiti rumah tradisional serta bangunan dan kedai yang dibina sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. Selain itu, turut ditonjolkan ialah mesej tentang kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar termasuklah peri pentingnya pemuliharaan sungai sebagai antara nadi kehidupan seperti yang dicatan menerusi karya oleh Alfie sendiri.



Wartawan oleh
ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my

No comments: